fb fb fb fb fb

Lebih banyak syarikat dijangka sertai program Veteran MyWIRA

Steven Sim Chee Keong

BATU KAWAN, 27 September- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yakin lebih banyak syarikat swasta yang berminat menyertai inisiatif Veteran MyWIRA dengan adanya Geran Program Meister Teknologi Lanjutan (ATMP) daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata Micron Memory Malaysia merupakan syarikat pertama menerima geran ATMP bagi penyertaan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam inisiatif itu dengan geran berjumlah RM179,250.

"Micron juga akan terus bersama kita melalui inisiatif ini dan mereka telah menyatakan hasrat untuk menggandakan pengambilan veteran ATM untuk tahun depan hingga 50 orang.

"Melalui geran ini, saya yakin kita akan dapat penyertaan lebih banyak lagi daripada syarikat swasta. Selain Micron, terdapat empat lagi syarikat swasta yang akan menyertai inisiatif ini iaitu FedEx, Western Digital, Pusat Kecemerlangan Walta (Walta COE) dan Hilton Malaysia," katanya.

Beliau berkata berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan Kohort Pertama Veteran MyWIRA di kilang pembuatan syarikat Micron di sini.

Dalam pada itu Sim juga menyifatkan kerjasama strategik antara Kementerian Pertahan dan dengan Kementerian Sumber Manusia dengan pihak industri itu membuka jaringan pekerjaan lebih luas untuk pesara tentera.

"Ini merupakan projek perintis, saya tanya peserta tadi semua dapat sekitar RM3,000 hingga RM4,000 gaji. Apabila ditempatkan di Micron Technology. Saya tanya balik, dia orang cakap dapat RM4,000," katanya lagi.

Selain kilang Micron, beberapa syarikat lain turut menyatakan hasrat mengambil pesara tentera untuk menyertai syarikat mereka pada masa akan datang.

Inisiatif tersebut juga dilihat memberi peluang kepada veteran ATM meningkatkan kemahiran dengan penekanan kepada pembangunan kemahiran yang dipacu industri dan pekerjaan dalam sektor swasta.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI