fb fb fb fb fb

Lebih 87,200 syarikat telah berdaftar bawah SPPP sejak Januari 2021 - SSM

Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Ahmad Sabki Yusof

KLANG, 4 Disember- Lebih 87,200 perniagaan dari seluruh negara telah berdaftar di bawah Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) sejak 1 Januari 2021 sehingga kini.

Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Ahmad Sabki Yusof berkata daripada jumlah itu, 50,782 merupakan usahawan B40 dan bakinya terdiri daripada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa.

"Saya maklumkan dalam ucapan tadi bahawa dengan mereka mendaftarkan peniagaan maka mereka ada entiti perniagaan yang membolehkan mereka buka akaun.

Kalau tiada, mereka gunakan akaun peribadi dimana ia adalah tidak bagus. Ia adalah amalan yang kurang baik kerana lebih baik kita asingkan akaun perniagaan dan peribadi. Untuk membolehkan kita buka akaun berasingan, perlu daftarkan perniagaan kita," kata Ahmad Sabki kepada pemberita selepas perasmian Program Semarak Daya Niaga Usahawan.

SPPP yang diperkenalkan pada 23 Dis​ember 2020 membolehkan usahawan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa mendaftarkan perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Pada majlis sama, SSM turut menyampaikan sumbangan bagi program Tanggungjawab Sosial Korporatnya berjumlah RM20,000 kepada 20 usahawan B40.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM