
KUALA LUMPUR, 1 April – Seramai 22 daripada 27 klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
- PAPK memberi peluang kedua pendidikan untuk klien RPDI, terutamanya bawah 18 tahun, melalui jadual pembelajaran sistematik dan guru berpengalaman.
- Program membuka laluan ke pendidikan tinggi dan TVET seperti IKM, ILP, IKBN, GiatMara dan politeknik.
- Inisiatif pelaburan sosial membina keyakinan, mengubah persepsi keciciran dan menyokong pemulihan serta kesinambungan hidup.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, mereka yang lulus berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, seperti Institut Kemahiran MARA (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), GiatMara dan politeknik.
“Kesemua klien ini sedang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) yang menawarkan modul khas, iaitu Program Akses Pendidikan Klien (PAPK), khususnya kepada klien bawah umur 18 tahun sebagai peluang kedua dalam kebajikan pendidikan.
“Menerusi program PAPK ini, semua klien yang layak akan mengikuti jadual kelas yang sistematik dan diajar oleh guru berpengalaman dengan bantuan tenaga pengajar daripada Pejabat Pendidikan Daerah,” katanya.
Menurut Datuk Ruslin, PAPK membuka ruang kedua kepada klien, khususnya yang berusia bawah 18 tahun untuk kembali ke landasan pendidikan formal menerusi jadual pembelajaran tersusun, serta bimbingan guru berpengalaman dengan sokongan Pejabat Pendidikan Daerah.
Inisiatif ini bukan sekadar akademik, tetapi satu pelaburan sosial untuk membina semula keyakinan dan hala tuju hidup.
Pada masa sama, PAPK turut mengubah persepsi masyarakat terhadap keciciran pendidikan, dengan menegaskan setiap individu masih mempunyai peluang untuk bangkit dan memperbaiki masa depan.
“Usaha ini adalah untuk memberi peluang kepada klien untuk memajukan diri dalam aspek akademik dan sijil kemahiran menerusi kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang boleh dimanfaatkan oleh klien AADK untuk meneruskan kehidupan, sekali gus dapat mengekalkan kepulihan sepanjang hayat,” tambahnya.
Klien yang menduduki peperiksaan SPM mengambil enam mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah, serta Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral.