LUMUT, 11 Mac - Lebih 80 peratus pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 siri pertama 2025 berpuas hati dengan pelaksanaan program tersebut.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah itu berdasarkan laporan maklum balas yang diterima daripada pelatih terlibat.
"Dan kita akan ada siri kedua dalam bulan Mei melibatkan dalam 550 pelajar atau peserta lelaki wanita, kalau siri pertama ia secara sukarela, maknanya mereka datang atas persetujuan sendiri, tetapi siri kedua ni ianya adalah kerahan bersyarat, kemudian tahun depan baru 'the real one'," kata Khaled Nordin.
Beliau ditemui pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Limbungan Lumut Naval Shipyard (LUNAS), di Pangkalan TLDM Lumut, pagi tadi.
PLKN 3.0 siri pertama yang bermula Januari lalu melibatkan penyertaan 116 pelatih sukarela dari seluruh negara.
Mereka didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran berdasarkan 30 peratus modul kenegaraan dan 70 peratus latihan asas ketenteraan.