fb fb fb fb fb

Lebih 700 hektar padi MADA diserang ulat batang

Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Perlis, Razali Saad/Foto RTM

ARAU, 26 Ogos- Lebih 700 hektar tanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terjejas berikutan serangan ulat batang.

Kawasan terjejas tersebut melibatkan lima kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) iaitu PPK Guar Sanji, PPK Kayang, PPK Simpang Empat, PPK Kangar dan PPK Tambun Tulang.

Menurut Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Perlis, Razali Saad, hasil pemantauan yang dilakukan pihak MADA mendapati, serangan ulat perosak masih peringkat awal dan tindakan pengawalan sedang dilaksanakan MADA bersama pesawah terlibat.

Jelasnya, sekiranya masalah berkenaan akan menjejaskan pendapatan petani sekiranya tidak dibendung.

"Petani yang terlibat atau pun mana-mana petani yang mengusahakan padi supaya mengambil langkah-langkah berjaga-jaga dan juga saling berhubung dengan agensi yang berkaitan.

"Jadikanlah agensi seperti Pertubuhan Peladang, MADA, Jabatan Pertanian, MARDI dan sebagainya sebagai kawan rapat untuk mendapatkan khidmat nasihat. Mudah-mudahan kejayaan yang baik akan kita capai", katanya demikian ketika meninjau kawasan tanaman padi terjejas bersama pegawai MADA dan petani terlibat di sekitar Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, di sini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD