fb fb fb fb fb

Lebih 680 hab rangkaian gentian optik titik PoP dibina di Sarawak menjelang 2025

(Tan Sri Annuar bercakap ketika mengadakan sidang media di Miri,Sarawak/BERNAMA)

MIRI, 8 Oktober- Sejumlah 681 hab rangkaian gentian optik titik kehadiran atau Point of Presence (PoP) akan dibina di Sarawak dalam masa tiga tahun hingga 2025.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata inisiatif yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion itu bakal memberi manfaat kepada 73,548 premis termasuk rumah kediaman.

“Dalam konteks ini sejumlah 681 PoP ada sekolah, ada bangunan, ada kawasan industri 681 di seluruh Sarawak dengan peruntukan RM1 billion.

"Ini akan menjadikan keseluruhan projek PoP fasa 1 dan 2 Sarawak yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat berjumlah RM1.11 bilion.” kata Annuar dalam sidang media di Miri.

Menurutnya, surat setuju terima (SST) bagi projek pembinaan PoP itu juga telah diberikan kepada sebuah syarikat tempatan dari Bumi Kenyalang pada 6 Oktober lepas.

Usaha itu diambil oleh kerajaan Persekutuan kerana masih banyak kawasan di Sarawak amat memerlukan jaringan dan perkhidmatan internet talian tetap berkelajuan tinggi.

Ujar beliau, jarak liputan PoP adalah dalam sekitar 3 kilometer dan mereka yang berada dalam lingkungan tersebut mendapat capaian jalur lebar yang lebih baik.

Lokasi PoP memfokuskan tempat awam seperti kawasan berhampiran sekolah, premis kerajaan, kawasan perniagaan dan komersial.

(Lebih 680 hab rangkaian gentian optik titik PoP dibina di Sarawak menjelang 2025)

Bawah Rancangan Malaysia Ke-12 sebanyak 4,323 PoP telah dirancang untuk dibina di lokasi berhampiran sekolah luar bandar termasuk 47 di kawasan industri.

"Jadi harapan K-KOMM pelaksanaan RM3.7 bilion PoP fasa 2 sebagai sambungan PoP fasa 1 yang sepatutnya siap pada akhir tahun ini. Kita berharap kita dapat percepat proses meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar yang sering menerima teguran atau rungutan ahli-ahli parlimen dan orang ramai

"Kita tahu ini memerlukan masa untuk meningkatkan prasarana, tidak dapat dibuat dalam masa yang pendek. Jadi PoP akan melengkapkan program JENDELA yang sedang kita jalankan. JENDELA fasa 2 juga kita akan laksanakan pada tahun hadapan,” katanya.

Sekiranya projek itu siap menjelang akhir RMKe-12 iaitu pada tahun 2025, kira-kira 432,300 premis dijangka menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi.

Media Baharu