fb fb fb fb fb

Lebih 6,000 graduan guru terima penempatan

Fadhlina Sidek / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 7 November- Seramai 6,328 graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dirai dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-14 yang bermula pada 3 November lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kesemua graduan telah menerima penempatan dan memulakan tugas sebagai guru.

"Guru-guru ini merupakan tenaga pengajar yang terlatih dan telah bersedia untuk mendidik di lokasi penempatan masing-masing.

"Komitmen kita adalah memastikan semua anak kita mendapat pendidikan terbaik daripada guru-guru ini," katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan di sini.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata usaha menyediakan pendidikan untuk anak-anak bekas pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang diselamatkan melalui Op Global juga diteruskan.

Menurut Fadhlina, pihak kementerian telah memulakan sesi pembelajaran dengan kelas psikososial pada dua minggu pertama bagi menilai keperluan psikososial mereka.

"Semua anak-anak ini telah memulakan kelas persekolahan seperti biasa mengikut kurikulum kita, dengan bimbingan guru-guru.

"Alhamdulillah, setakat ini mereka mengikuti pendidikan sebagaimana aliran perdana, dibantu oleh guru-guru yang telah kita tempatkan di lokasi masing-masing," jelasnya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM