fb fb fb fb fb

Lebih 450 individu ditahan dalam Op Ambang Tahun Baru 2024 di Kedah

430 buah motosikal dan 478 individu ditahan dalam Op Ambang Tahun Baru 2024

ALOR SETAR, 1 Januari- Sekumpulan penunggang dan pembonceng motosikal ditahan pihak polis dalam Op Ambang Tahun Baru 2024 di beberapa lokasi sekitar Alor Setar, Kedah, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asistan Komisioner (ACP) Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, intipan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Setar pada pukul 1.00 pagi mengesan kumpulan bermotosikal memasuki pusat bandar Alor Setar.

"Kumpulan itu aktif melakukan aksi menunggang secara berbahaya dan menjadikan lokasi itu sebagai tempat perlumbaan hingga mengganggu pengguna jalan raya.
 
"Pasukan operasi telah ditempatkan di beberapa lokasi sekitar persimpangan lampu isyarat Kepala Batas, sebelum melakukan kepungan secara serentak pada pukul 3.40 pagi," katanya.
 
Bagaimanapun kumpulan bermotosikal itu gagal meloloskan diri apabila kesemua laluan keluar dikepung rapi.
 
Kira-kira 430 buah motosikal dan 478 individu ditahan untuk tujuan pemeriksaan. Manakala sebanyak 70 buah lagi disita.
 
Selain itu sebanyak 340 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, antaranya tiada lesen memandu dan kesalahan ubah suai kenderaan.
 
Dalam operasi itu juga, dua individu dikesan positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut. 
 
Operasi berakhir sepenuhnya pukul 10.15 pagi tadi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI