
KUALA LUMPUR, 23 Februari- Jumlah penduduk terjejas banjir di Sabah menyaksikan peningkatan ketara apabila seramai 4,348 orang daripada 1,774 keluarga berlindung di 32 pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini berbanding 3,427 orang daripada 1,449 keluarga malam tadi.
- Jumlah penduduk terjejas di PPS meningkat ketara pagi ini kepada 4,348 orang daripada 1,774 keluarga.
- Pitas mencatatkan jumlah tertinggi penduduk terjejas banjir iaitu 2,618 orang daripada 1,276 keluarga.
- Banjir menjejaskan 70 kampung di tiga daerah: Pitas, Paitan dan Tawau.
Menurut kenyataan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah, kesemua mereka ialah penduduk dari 70 kampung di tiga daerah yang terjejas akibat banjir iaitu Pitas, Paitan dan Tawau.
Pitas merekodkan jumlah tertinggi iaitu 2,618 orang daripada 1,276 keluarga berbanding 2,171 orang daripada 1,078 keluarga setakat semalam.
Paitan turut menyaksikan pertambahan jumlah penduduk terjejas iaitu 1,485 orang daripada 443 keluarga manakala Tawau kekal dengan 245 orang daripada 55 keluarga.