fb fb fb fb fb

Lebih 400 pengusaha sektor pelancongan terima Bantuan Prihatin Pahang

Tourism Pahang berkata sebanyak RM80,800 diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

JERANTUT, 18 Disember- Seramai 404 orang pengusaha pemandu bot pelancong, malim gunung serta pemandu pelancong yang aktif di daerah Jerantut, Pahang menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Pemandu Bot Pelancong dan Malim Gunung tahun 2023.

Tourism Pahang berkata sebanyak RM80,800 diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

"Kerajaan negeri memperuntukkan RM160,000 menerusi program BPP Kluster Pemandu Bot Pelancong dan Malim Gunung, pada tahun ini.

"Pengagihan BPP bagi kluster terbabit telah bermula pada 30 November lalu dan berakhir penghujung Disember ini, melibatkan 800 penerima di seluruh Pahang.

"Ia diharap dapat membantu meringankan beban penerima dan secara tidak langsung memberi suntikan motivasi kepada mereka dalam bidang yang diceburi," kata Tourism Pahang menerusi kenyataan.

Majlis penyampaian dan penyerahan bantuan itu disempurnakan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man di Dataran Kuala Tahan, Jerantut.

Kerajaan Pahang menawarkan BPP ini secara tahunan bertujuan untuk membantu rakyat menerusi pelbagai bentuk inisiatif, melibatkan empat kluster utama iaitu Kluster Pelajar dan Anak Muda, Kluster Golongan B40, Kluster Masyarakat Umum (termasuk pelancongan) dan Kluster Pemberian Apresiasi, dengan peruntukan keseluruhan bernilai RM42.4 juta.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM