KUALA LUMPUR, 1 November- Kementerian Kesihatan (KKM) mengalakkan penyertaan klinik-klinik swasta menyertai Skim Perubatan MADANI (SPM).
Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, setakat ini, lebih 185,000 rakyat telah memanfaatkan skim tersebut.
"Kita minta supaya lebih ramai rakan-rakan daripada klinik swasta ini bersama-sama kami untuk mendaftarkan klinik mereka di bawah Skim Perubatan MADANI.
"Ia akan memanfaatkan 700,000 rakyat sekiranya lebih banyak klinik swasta menyertai skim tersebut," kata Zaliha kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini.
Setakat ini, sebanyak 2,000 klinik swasta telah berdaftar di seluruh negara.
Dalam pada itu, Zaliha berkata sebanyak 1,200 klinik daif dikenal pasti KKM dan memerlukan penambahbaikan bagi kemudahan rakyat.
Katanya, terdapat tiga kategori klinik daif iaitu klinik yang berusia 50 tahun, klinik kurang infrastruktur dan klinik terkesan dengan bencana.
"Sebanyak 436 klinik daif akan dibaik pulih tahun ini dan dengan penjimatan, dapat tambah 75 lagi klinik," kata Zaliha.
KKM menjangkakan pada akhir tahun ini klinik-klinik daif tersebut akan dapat dibaik pulih.