Lebih 398,000 pendaftaran memasuki tahun satu

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berucap ketika hadir ke Program Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al Tarbiah Al Islamiah / BERNAMA

CHANGKAT JERING, 10 Mac– Seramai 398 ribu 671 murid telah mendaftar untuk memasuki Tahun Satu, setakat semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian memantau pendaftaran dalam talian untuk memastikan bilik darjah dan kemudahan sekolah mencukupi.
  • Langkah diambil sebagai persediaan menghadapi kemungkinan kohort berganda; statistik muktamad akan ditentukan hujung bulan.
  • Pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 secara kontrak untuk menampung kekurangan guru sementara.
  • Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 mensasarkan kecemerlangan akademik serta pembentukan nilai dan kepimpinan; perlukan kerjasama semua pihak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata daripada jumlah itu 338,714 murid berumur tujuh tahun, manakala baki 59, 957 murid lagi berumur enam tahun.

Beliau berkata pendaftaran secara dalam talian akan terus dipantau oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan bilik darjah dan kemudahan di sekolah mencukupi.

Langkah ini juga dibuat sebagai persediaan menghadapi kemungkinan kohort berganda pada tahun hadapan.

“Kita akan memantau akhir bulan ini kita akan dapat statistik ataupun pendaftaran secara muktamad dan dari situlah kita boleh menentusahkan angka yang sebenar ataupun permintaan yang sebenar berkaitan dengan sekolah mana yang memerlukan berapa banyak bilik darjah yang tambahan.

“Tetapi itu bukan bermakna bahawa kita sekarang tidak ada rancangan .. tidak. Sememangnya sekolah yang mungkin dari segi trend, dari segi tradisi, ia mungkin akan menarik lebih ramai enrolmen murid. Kita sudah bersedia dengan pemetaan tetai kita akan muktamad pada akhir bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan Tahun 2026 Negeri Perak di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al Tarbiah Al Islamiah, dekat sini.

Mengulas lanjut, katanya pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara kontrak (COS)* adalah sebahagian persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.

Ini termasuk menampung kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun Satu secara sukarela tahun hadapan.

Pengambilan ini menyasarkan graduan tanpa ijazah pendidikan bagi menampung kekurangan guru sementara, pada masa sama keutamaan tetap diberikan kepada graduan pendidikan.

Mengenai RPM, beliau berkata rancangan itu bertujuan memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki nilai karakter dan kepimpinan.

Beliau menekankan pelaksanaan rancangan ini memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk warga pendidik, ibu bapa dan pemegang taruh, bagi memastikan impak sebenar kepada sistem pendidikan negara.