fb fb fb fb fb

Lebih 340,000 syarikat serah maklumat benefisial setakat 14 Julai

Armizan Mohd Ali

PUTRAJAYA, 16 Julai- Sebanyak 340,637 syarikat telah membuat transaksi serah simpan maklumat pemunyaan benefisial, setakat 1 April hingga Ahad lepas.

Terdahulu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengumumkan tiada fi lewat serah simpan dan tiada fi rektifikasi bagi tempoh menyerah simpan maklumat pemunyaan benefisial di bawah Akta Syarikat (Pindaan) 2024 bermula 1 April 2024 hingga 30 September 2024.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tempoh itu bertujuan memastikan semua syarikat mempunyai masa mencukupi untuk mematuhi keperluan tersebut melalui sistem Electronic Beneficial Ownership System (e-BOS).

"Syarikat dan tiap-tiap pegawai yang melanggar Seksyen 60B(6) Akta Syarikat 2016 dengan tidak mematuhi tanggungjawab ini melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 dan dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi RM500 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

"Tanggungjawab baharu berhubung kerangka pelaporan benefisial ini termaktub dalam peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa bermula pada 1 April 2024 selaras dengan pindaan yang telah dibuat kepada Akta 777.

"Pindaan ini telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 November 2023 dan di Dewan Negara pada 13 Disember 2023. RUU ini telah mendapat Perkenan Diraja pada 24 Januari 2024 dan diwartakan sebagai Akta Syarikat (Pindaan) 2024 pada 2 Februari 2024," katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan berkata, penambahbaikan kerangka pelaporan pemunyaan benefisial dilaksanakan mengambil kira perkembangan terkini di peringkat antarabangsa dalam memerangi aktiviti-aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan pengelakan cukai.

"Kedudukan Malaysia dalam konteks menangani aktiviti-aktiviti tersebut sedang dinilai oleh pelbagai badan antarabangsa seperti Financial Action Task Force (FATF) bermula tahun ini sehingga tahun hadapan," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan agar semua syarikat mematuhi peruntukan undang-undang itu dan digalakkan memanfaatkan tempoh menyerah simpan maklumat pemunyaan benefisial sebelum 30 September ini.

Dalam pada itu, KPDN hari ini telah memulakan siri dialog bersama pemain industri sektor peruncitan meliputi empat badan gabungan iaitu Malaysia Retailers Association (MRA), Malaysia Retail Chain Association (MRCA), Bumiputera Retailers Organization (BRO) dan Persatuan Pemborong Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR) bertempat di Menara SSM, Kuala Lumpur.

Armizan berkata, ia diadakan susulan arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Jemaah Menteri supaya semua kementerian mengadakan dialog untuk mendapatkan input bagi Belanjawan 2025.

Pelbagai perkara dibincangkan yang memberi fokus kepada usaha merangsang pembangunan sektor peruncitan, sekali gus meningkatkan sumbangan sektor itu terhadap pencapaian agenda Ekonomi MADANI termasuk menangani isu-isu berbangkit yang dihadapi oleh pemain industri sektor peruncitan dan komitmen mereka dalam agenda pengukuhan tadbir urus korporat.

SITI AISHAH MD ISA