KUALA LUMPUR, 25 Jun - Seramai lebih 30 orang mahasiswa Universiti Malaya (UM) dari pelbagai bidang pengajian turun padang menyantuni golongan gelandangan menerusi program Sentuhan Kasih di sekitar Chow Kit, di sini.
Program tersebut turut mendapat kerjasama 20 orang sukarelawan MyHeal, sebuah organisasi sukarelawan yang aktif memberikan bantuan kepada golongan itu.
Pengarah Program, Muhammad Farid Izzuddin berkata penganjuran program tersebut secara tidak langsung mampu mencipta peluang kepada mahasiswa menambah pengalaman dalam mendekati segmen masyarakat gelandangan.
"Sukarelawan berpeluang mendekati golongan gelandangan ini dengan mendengar luahan kisah dan masalah sekelompok manusia yang turut menghuni ibu kota namun jarang ditemui untuk dijadikan pengajaran dan pedoman hidup.
"Secara tidak langsung, ini dapat memupuk rasa empati, sikap ihsan dan memupuk keikhlasan niat dalam melakukan sesuatu perkara," kata Muhammad Farid.
Menerusi program tersebut, pelbagai aktiviti telah diadakan seperti makan beramai-ramai, sesi perkongsian rohani bersama Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam UM, Dr. Abdul Aziz Rekan, Street Dakwah yang dilakukan pendakwah bebas, Ustaz Darwis serta Santai Sekejap yang dianjurkan khusus untuk kanak-kanak.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam UM, Dr. Abdul Aziz Rekan berkata program itu telah meyakinkan mahasiswa bahawa proses pembelajaran tidak terhad di dewan kuliah sahaja sebaliknya membantu mereka keluar dari kepompong dan belajar realiti kehidupan sebenar di ibu kota.
“Dalam hal ini, mereka dilatih untuk menunaikan tanggungjawab dalam membantu sesama Muslim.
"Diharapkan kejayaan penganjuran program Sentuhan Kasih ini bukan sahaja mengajar mereka erti bersyukur yang sebenar, malah turut menyuntik semangat untuk mengusahakan yang terbaik dalam setiap apa yang dilakukan, terutamanya dalam mengejar impian mereka bergelar graduan yang holistik dan serba boleh," kata Dr. Abdul Aziz.