LABUAN, 9 Februari- Lebih 3,000 peserta menyertai Larian Hari Wilayah Persekutuan dan Labuan Half Marathon peringkat Labuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2025.
Penganjuran pertama kali itu berjaya mencapai jumlah penyertaan yang disasarkan.
Peserta mengambil bahagian dalam pertandingan dengan jarak larian 21 kilometer (km), 10 km, dan 5 km mengikut kategori Half Marathon, BMW Regas Premium, dan Larian Hari Wilayah Persekutuan.
Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim, berkata penganjuran larian tersebut merupakan salah satu acara dalam kalendar SHWP 2025.
"Ini adalah antara langkah sebenarnya usaha daripada kita di Jabatan Wilayah dan juga Perbadanan Labuan bagaimana kita hendak merancakkan kembali aktviti-aktiviti di Labuan.
"Walaupun cuaca hujan pada pagi, saya tidak menghalang peserta-peserta untuk menghabiskan larian dan insya-Allah ini adalah permulaan terbaik.
"Kita akan teruskan pada tahun-tahun hadapan untuk program seumpama ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di pekarangan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.