fb fb fb fb fb

Lebih 3,000 tapak sampah haram tutup sepenuhnya

Lebih 3,000 tapak sampah haram ditutup sepenuhnya

KUALA LUMPUR,11 Disember - Lebih 3,000 tapak sampah haram di tujuh negeri berjaya ditutup sepenuhnya tahun ini, susulan operasi penguatkuasaan berskala besar oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Operasi itu turut menyaksikan 1,530 tan sisa pepejal dibersihkan dengan kos keseluruhan RM406,500, selain 22 kes pembuangan haram dibawa ke mahkamah membabitkan denda RM385,000, hasil daripada 4,268 operasi risikan yang dijalankan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencapaian itu merupakan kejayaan terbesar sejak Akta 672 dikuatkuasakan, sekali gus membuktikan keberkesanan tindakan bersepadu kerajaan dalam membanteras aktiviti pembuangan sampah haram secara lebih tegas dan sistematik.

"Atas dedikasi dan iltizam berterusan yang ditunjukkan oleh SWCorp dalam menangani isu pembuangan sampah haram, usaha ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, malah turut memperkukuh aspirasi kita untuk mencapai sifar tapak sampah haram demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian persekitaran negara," katanya di Program Sentuhan Kejayaan SWCorp KPKT: Operasi Pembasmian dan Penutupan Tapak Sampah Haram 2025.

Kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) turut diperkukuh, bagi memastikan tindakan penguatkuasaan lebih bersasar terhadap tapak-tapak berisiko tinggi untuk tujuan pendakwaan.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN