fb fb fb fb fb

Lebih 233,000 pelajar di Pahang terima bantuan awal persekolahan

Datuk Seri Ir Mohd Soffi (tengah) pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Pahang di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), di sini, hari ini.

KUANTAN, 5 Februari- Kira-kira RM35 juta disalurkan kepada Pahang bagi pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2024.

Bantuan “sekali bayar” itu akan memanfaatkan lebih 233,000 pelajar dengan pengagihan sepenuhnya selesai sebelum pembukaan sesi persekolahan baharu Mac nanti.

Menurut Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak, pengagihan akan disalurkan sepenuhnya kepada ibu bapa tanpa sebarang pemotongan.

"Bantuan awal persekolahan melibatkan 233,860 murid dan 739 buah sekolah di negeri Pahang iaitu pelajar- pelajar akan menerima RM150 seorang tanpa sebarang penolakan, tanpa sebarang potongan. Kalau dulu ada potongan yuran itu, yuran PIBG, ini tidak dikira," katanya.

Beliau berkata selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Pahang di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) KPM, Azman Adnan dan Pengarah Pendidikan Negeri, Amzan Abd Malek.

Dalam pada itu, Kerajaan negeri Pahang turut menyediakan inisiatif tambahan RM100 menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada murid tahun satu, tingkatan 5 dan 6.

ZEHRA BINTI ZAMBRI