PUTRAJAYA, 2 Jun - Lebih 23,000 baucar buku berjaya ditebus oleh murid dan pelajar menggunakan aplikasi DELIMa dan Kota Buku Digital sehingga kini.
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, tempoh sah penebusan dan penggunaan baucar buku untuk murid dan pelajar di institusi pendidikan di bawah KPM adalah dari 31 Mei hingga 31 Disember ini.
"Justeru murid dan pelajar dinasihati untuk tidak bimbang kerana mereka mempunyai tempoh masa yang mencukupi untuk menebus baucar buku masing-masing dan menggunakannya bagi mendapatkan bahan bacaan yang terbaik," menurut KPM menerusi kenyataan, hari ini.
KPM berkata inisiatif baucar buku untuk murid dan pelajar di semua institusi bawah KPM yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendapat sambutan menggalakkan sejak ia mula dibuka pada 31 Mei lepas.
Pada 30 Mei lalu, Perdana Menteri mengumumkan pemberian baucar buku RM50 dan RM100 kepada golongan pelajar membabitkan murid tahun empat dan ke atas, pelajar sekolah menengah, penuntut institusi pendidikan tinggi serta Institut Pendidikan Guru.