fb fb fb fb fb

Lebih 16,000 orang hadir Himpunan Malaysia Bersama Palestin

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Oktober- Lebih 16,000 orang hadir pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin, malam tadi.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, beliau kagum dan syukur dengan penganjuran dan persiapan daripada pihak badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.

"Jadi dalam tempoh kurang 36 jam, alhamdulilah ia dapat dilaksana dengan baik.

"Dan yang paling penting mesej yang kita terima pada hari ini.

"Jangan patah semangat, insya-Allah kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepimpinan akan mengusahakan yang terbaik.

"Kita perlu terus berusaha untuk membantu masyarakat Palestin dengan pelbagai cara.

"Dan semestinya daripada segi diplomasi, kita akan memberi tekanan melalui saluran-saluran seperti seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)," kata Fahmi kepada media selepas hadir majlis Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena Bukit Jalil di sini.

Sementara itu, tambah Fahmi, Khamis ini pada pukul 10.00 malam satu sidang khas tergempar bersama PBB akan diadakan mengenai isu serangan Israel terhadap Palestin.

"Dan saya lihat perkara yang perlu kita usahakan sekarang adalah tekadkan pemahaman dalam kalangan rakyat, kenapa Malaysia mengambil pendirian ini.

"Saya percaya ramai yang setuju dan sokong, pendirian kerajaan, pendirian Malaysia.

"Dan cuma bagi saya yang penting harapan saya kita bukan hanya sekadar mahu melontarkan slogan atau bertakbir tetapi lebih daripada itu," kata Fahmi.

Dalam pada itu, Fahmi turut memberi peringatan kepada pihak yang ingin memberi bantuan kepada rakyat di Palestin.

"Pastikan kita guna saluran rasmi, saluran yang betul dan kita sampaikan kepada pihak yang benar-benar akan menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin.

"Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keluar berita mereka melakukan siasatan terhadap satu organisasi yang katanya mengumpul dana untuk tujuan bantuan kepada rakyat Palestin. Tetapi ada pertikaian tentang isu tersebut. Jadi biar pihak berkuasa siasat," kata Fahmi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM