KUALA KANGSAR, 10 November- Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyertai Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah (LHKSNS) 2024 bersama lebih 12,000 peserta di Dataran Pavilion Kuala Kangsar, pagi tadi.
Turut berangkat pada larian itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Pada acara tersebut, Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan pelepasan larian bagi kategori 15, 10 dan tujuh kilometer.
Manakala bagi kategori tetamu kehormat membabitkan jarak 3.5 kilometer yang turut disertai Sultan Nazrin dan Tuanku Zara disempurnakan adinda baginda, Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Sementara itu, wakil Jawatankuasa Induk LHKSNS, Syurina Shapiai ketika menjadi tetamu Cerita Pagi Selamat Pagi Malaysia (SPM) berkata penyertaan untuk edisi kali ini meningkat 3,103 peserta berbanding tahun sebelumnya.
Peningkatan itu secara tidak langsung memberi impak positif kepada penduduk setempat.
" Selain menyumbang kepada sektor pelancongan di Kuala Kangsar, kita juga dapat menambah potensi ekonomi rakyat tempatan.
"Macam bila berlaku larian Tuanku ini ramai orang tempatan boleh berniaga juga pendedahan kepada masyarakat daripada luar pelbagai bangsa pelbagai budaya", katanya di sini.