MANAMA, 20 Februari- Rakyat Malaysia yang menetap di Bahrain menyambut baik dan teruja dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu dalam rangka lawatan rasminya selama tiga hari.
Lebih 100 diaspora Malaysia di Bahrain berpeluang bersemuka dan mengajukan soalan secara langsung kepada Perdana Menteri dalam satu Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra bersama diaspora Malaysia di Bahrain.
Warga Malaysia di Bahrain Datuk Syed Taha Syed Mohamed mengucapkan terima kasih atas kehadiran Perdana Menteri ke negara itu.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sempat datang ke Bahrain kerana sangat jarang menteri datang untuk mengunjungi Bahrain dari dulu sejak 20 tahun. Jadi kita boleh tahu siapa datang, siapa tak datang," katanya.
Bagi warga Malaysia di Bahrain Norhani Aida Mohd Nor, sebagai anak Malaysia dia berbangga melihat kibaran bendera negara di bumi Bahrain.
"Kita nampak bendera Malaysia, apatah lagi Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim datang ke sini.
"Kita rasa bangga, saya rasa satu perasaan yang tidak boleh nak cakap sebagai individu yang menetap di sini. Ini merupakan satu peluang keemasan," katanya.
Sementara itu bagi seorang lagi warga Malaysia di Bahrain Wan Zalina Wan Zakwan, dia berpendapat pertemuan bersama Perdana Menteri merupakan peluang berharga.
"Alhamdulillah kami komuniti di Bahrain berbesar hati dengan kunjungan Perdana Menteri dan beliau sanggup untuk meluangkan masa walaupun sibuk.
"Beliau juga berkesempatan menjawab soalan kami yang berada di Bahrain ini. Kami sangat gembira," katanya.