fb fb fb fb fb

Lebih 1 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya Pantai Timur

FOTO HIASAN

KUANTAN, 8 Februari - ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menjangkakan lebih 1 juta kenderaan di lebuh raya menghala Pantai Timur sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina (TBC).

Pihaknya menjangkakan sebanyak 1,054,000 buah kenderaan di Lebuhraya KL-Karak (KLK) manakala bagi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) adalah sebanyak 423,000 buah kenderaan sepanjang enam hari bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad Imran Gulcharan Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan Jumlah trafik ke Pantai Timur dijangka akan mengalami peningkatan bermula dari petang 8 Februari hingga 10 Februari nanti.
 
"Manakala kesesakan trafik menghala ke Barat pula dijangka berlaku pada 12 Februari hingga 13 Februari ini.
 
"Secara keseluruhan, peningkatan sebanyak 75% kenderaan yang melalui KLK dan peningkatan 57% kenderaan di LPT1 sepanjang tempoh tersebut berbanding purata trafik harian," menurut kenyataan itu.
 
Justeru, pihaknya  menyiarkan cadangan Jadual Waktu Perjalanan (TTA) untuk rujukan dan panduan semua pengguna Lebuhraya (KLK) dan Lebuhraya (LPT1) bagi membantu mengurangkan kesesakan dan merancang perjalanan dengan lebih efisien.
 
Pada masa sama, ANIH Berhad telah mengambil langkah proaktif dengan membuat penambahan petugas sebanyak 20 peratus yang meliputi pasukan petugas LPT Ronda dan kawalan trafik untuk tujuan rondaan, kawalan serta bantuan.
 
Selain itu, seramai 156 anggota RELA turut ditempatkan bagi mengurus serta mengawal aliran trafik di plaza tol, hentian rehat dan hentian sebelah yang turut dijangka sesak.
 
Bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini, pengguna disarankan mengikuti saluran rasmi media sosial ANIH Berhad di Facebook @Lebuhraya Pantai Timur dan X (Twitter) @LPTTrafik serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) @llmtrafik.
 
Atau menghubungi LPT-Line di 1-700-818-700 atau talian LLM di 1800-88-7752 jika berlaku kecemasan.

TETITIA YUSOFF