fb fb fb fb fb

1,666 keluarga asnaf, fakir miskin terima agihan ayam segar

Foto LZNK

PENDANG, 31 Mac- Seramai 1,666 keluarga asnaf dan fakir miskin di seluruh daerah Pendang, Kedah masing-masing menerima sumbangan dua ekor ayam segar daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Pengerusi LZNK, Datuk Seri Norizan Khazali berkata menerusi Program Agihan Infaq Ayam Segar kepada Fakir dan Miskin, sumbangan berkenaan bernilai RM49,980.

Katanya, program yang memasuki tahun keempat melalui platfom 'Asnaf Care' diteruskan pengagihan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Pengagihan melibatkan 50 masjid di daerah Pendang bagi membantu meringankan persiapan menjelang Aidilfitri buat asnaf dan fakir miskin yang terpilih.

"LZNK berharap sumbangan agihan ayam segar kepada asnaf dan fakir miskin dapat diteruskan lagi dengan jumlah penerima lebih ramai pada tahun hadapan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan penyerahan agihan program berkenaan di Masjid Sultanah Haminah di sini.

Tambahnya, tiga syarikat korporat turut memberikan tajaan ayam segar tahun ini membabitkan jumlah sumbangan sebanyak RM19,500.

Syarikat berkenaan ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Kedah Medical Centre (KMC).

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM