LONDON 14 Januari - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan ke United Kingdom (UK) selama lima hari bermula 15 hingga 19 Januari 2025.
Lawatan ini adalah atas jemputan daripada Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer.
Lawatan ke UK pada kali ini, merupakan lawatan pertama semenjak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Ini juga merupakan lawatan ke negara Eropah pertama oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN.
Jelas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Zakri Jaafar, lawatan ini dijangka akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan UK yang mencakupi pelbagai bidang.
Tambah beliau, lawatan berkenaan juga akan turut memberikan nafas baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-UK bawah pimpinan Perdana Menteri, Keir Starmer yang bermula Julai 2024.
Lawatan itu akan turut dimanfaatkan sepenuhnya untuk meneroka inisiatif-inisiatif baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan susulan penyertaan UK ke Comprehensive and Progressive for Trans-Pacific Partnership (CPTPP).
Menurut Datuk Zakri lagi, Malaysia selaku Pengerusi bagi 2025 akan menggunakan kesempatan lawatan dan pertemuan untuk membicarakan tumpuan dan hala tuju kepengerusian Malaysia yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.