fb fb fb fb fb

Lawatan rasmi PM perkukuh Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 9 Julai -Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tiga negara iaitu Itali, Perancis dan Brazil membawa pulangan positif apabila Malaysia berjaya meraih potensi pelaburan berbilion ringgit meliputi sektor teknologi tinggi, aeroangkasa, tenaga mampan dan inovasi.

Menerusi hantaran Facebook, Perdana Menteri memaklumkan pelaburan berkualiti itu dijangka mengukuhkan asas ekonomi negara serta membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat.

Sepanjang lawatan, Malaysia turut menegaskan pendirian konsisten di pentas BRICS dengan memperjuangkan kerjasama global yang adil, saksama dan berteraskan keamanan sejagat.

"Penyertaan dalam sidang tersebut membuka akses pasaran baharu kepada syarikat tempatan selain memperkukuh kedudukan negara dalam landskap geoekonomi dunia yang kian mencabar," menurut hantaran itu.

Diplomasi berterusan itu jelas mencerminkan pendekatan Kerajaan MADANI progresif dan berprinsip demi kesejahteraan rakyat dan kelangsungan masa depan negara.

"Lawatan turut memperkukuh hubungan dua hala dengan rakan strategik di Eropah, Amerika Latin dan negara anggota BRICS, selain memantapkan agenda pembangunan negara Selatan Global," tambah hantaran itu.

Kerajaan menegaskan usaha berkenaan tidak terhenti setakat itu sebaliknya ia merupakan komitmen berterusan untuk membuka ruang kerjasama baharu akan diteruskan bagi membina masa depan Malaysia lebih gemilang di persada dunia.

"Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh delegasi Malaysia meliputi wakil kerajaan, agensi dan delegasi perniagaan yang telah melaksanakan setiap agenda dengan penuh profesionalisme dan komitmen tinggi," menurut hantaran itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI