fb fb fb fb fb

Lawatan rasmi ke China, PM hadiri BFA 2023 di Hainan

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto fail Bernama)

HAINAN, CHINA, 28 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara pemimpin tertinggi negara yang akan menghadiri Forum Boao untuk Asia (BFA) 2023 di Hainan, China.

Forum yang memfokuskan isu-isu di Asia dan ekonomi serantau itu berlangsung selama empat hari bermula hari ini.

BFA kali ini menampilkan tema Ketidaktentuan Dunia: Perpaduan dan Kerjasama Untuk Kemajuan di Sebalik Cabaran.

Antara jadual BFA 2023 hari ini ialah sesi sidang media persidangan tahunan BFA diikuti perbincangan topik landskap baharu perindustrian dan rantaian bekalan.

BFA 2023 diteruskan dengan mesyuarat majlis penasihat BFA, perbincangan meja bulat bersama usahawan swasta, perkongsian peluang pembangunan serta rundingan budaya.

Esok Perdana Menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Boao pada pukul 3.00 petang dan akan menghadiri Majlis Iftar bersama komuniti muslim di Hainan.

Perdana Menteri juga akan mengadakan mesyuarat bersama kepimpinan tertinggi "China Communications Construction Company" CCCC.

Beliau dijangka memberi ucapan pada sesi pembukaan plenary BFA, pada Khamis.

(Bendera Malaysia dinaikkan bersama bendera negara-negara yang menyertai "Boao Forum For Asia"
di hadapan tempat persidangan yang bermula pada 28 hingga 31 Mac ini/Foto Bernama)

Lawatan rasmi Anwar ke China bermula esok merupakan lawatan antarabangsa kesembilan beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada November tahun lalu.

Selepas lawatan kerja dua hari ke Hainan, Perdana Menteri akan berangkat ke Beijing, China.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan China terjalin sejak 1974.

Malah perdagangan antara kedua-dua negara juga mencatatkan prestasi cemerlang, tahun lepas.

Jumlah perdagangan tahun lalu mencatat keuntungan sebanyak RM876 bilion iaitu meningkat 15.6 peratus pada tahun ke tahun.

Jumlah itu juga kali pertama dalam sejarah melepasi RM863 bilion.

Justeru lawatan Perdana Menteri kali ini sudah semestinya bakal menterjemah lembaran baharu terutama sektor perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan China.

Laporan wartawan Dian Fatiha Maknoh

Media Baharu