JOHOR BAHRU, 11 Januari- Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong akan berada di Johor hari ini bagi menghadiri majlis meraikan siapnya rentang penghubung jejambat antara Singapura dan Malaysia bagi projek Sistem Transit Aliran (RTS) Johor Bahru-Singapura.
Beliau juga dijangka akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Projek RTS Link bertujuan untuk menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura dengan kapasiti puncak sehingga 10,000 penumpang setiap jam dalam setiap arah.
Projek tersebut dijangka memulakan perkhidmatan penumpang menjelang akhir tahun 2026.
Sementara itu, JS-SEZ direka untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dalam Kawasan Pembangunan Iskandar dengan memanfaatkan kelebihan bersama Singapura dan Malaysia.
Lawatan Hsien Loong dijangka akan turut disertai oleh beberapa menteri utama dan pegawai dari pelbagai kementerian Singapura.