Lawatan PM Singapura ke Malaysia cerminkan hubungan erat dua negara

Lawatan PM Singapura ke Malaysia cerminkan hubungan erat dua negara./BERNAMA

BANTING, 20 Februari – Lawatan khas Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, ke Malaysia petang ini mencerminkan hubungan persahabatan yang erat serta komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama dua hala.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan tidak rasmi PM Singapura ke Malaysia menunjukkan persahabatan dan komitmen memperkukuh kerjasama dua hala.
  • Perbincangan akan fokus menyelesaikan isu bersama dan memajukan projek yang telah diputuskan bersama.
  • Kedua pemimpin dijangka bincang hasil Pemukiman Pemimpin dan kerjasama berkepentingan bersama.
  • Singapura kekal rakan utama Malaysia dalam ASEAN dengan hubungan erat merentas pelbagai bidang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuan ini bakal membuka ruang untuk membincangkan serta menyelesaikan isu-isu berbangkit yang memerlukan perhatian bersama.

“Saya ucap terima kasih atas kesudian beliau datang dalam suasana tidak rasmi sebagai sahabat. Kita ambil kesempatan ini untuk bincang kepentingan kedua-dua negara dan kemajuan projek yang telah kita putuskan bersama,” katanya.

“Semua isu yang kita rasa patut diselesaikan, kita akan berbincang untuk diselesaikan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat bersama hampir seribu jemaah di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Seri Cheeding di sini hari ini.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama dua hala serta isu-isu berkepentingan bersama, termasuk hasil Pemukiman Pemimpin yang berlangsung pada 4 Dis 2025.

Singapura merupakan jiran serta rakan utama Malaysia dalam ASEAN, dengan hubungan yang erat dan meluas dalam pelbagai bidang.

Singapura juga adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan mencecah RM402.35 bilion (US$93.97 bilion) bagi tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 1.5 peratus berbanding 2024.