fb fb fb fb fb

Lawatan PM ke China: Perbaharui kerjasama sedia ada

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 5 September - Hubungan dua hala antara Malaysia dan China yang sekian lama terjalin terus diperkukuh menerusi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Beijing, minggu lalu.

Ia menyaksikan komitmen berterusan Putrajaya dan Beijing dalam memperkukuh kerjasama strategik merangkumi bidang ekonomi, pelaburan, teknologi serta keselamatan serantau.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Amer Fawwaz Mohamad Yasid menyifatkan lawatan itu memberi mesej jelas hubungan bilateral kekal utuh, di sebalik perubahan kepimpinan negara.

Antara yang mencuri tumpuan, komitmen Malaysia memperbaharui kerjasama sedia ada termasuk membincangkan isu sensitif seperti konflik Laut China Selatan, yang dijangka dibincangkan secara tertutup menerusi saluran diplomatik.

Menurutnya, Perdana Menteri mempamerkan keakraban negara dengan kuasa besar ekonomi itu, tanpa mengetepikan hubungan baik dengan negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis.

Tambah Dr. Amer Fawwaz, hubungan dengan negara tembok besar ketika ini lebih tertumpu kepada aspek ekonomi dan perdagangan berbanding geopolitik semata-mata, selari dengan dasar berkecuali Malaysia yang diasaskan sejak era Perang Dingin.

Sementara itu, Pakar Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM) Collins Chong Yew Keat pula berpandangan, Malaysia mengambil pendekatan yang bijak bagi meredakan kebimbangan Washington.

Hubungan baik dengan kuasa besar ekonomi dunia tidak memihak kepada mana-mana negara dalam aspek geopolitik, sebaliknya hanya tertumpu kepada kemajuan ekonomi.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar mengadakan lawatan kerja empat hari bermula 31 Ogos lepas, menyambut undangan Presiden China Xi Jiping bersama-sama pemimpin dunia bersempena Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN