fb fb fb fb fb

Lawatan penjara Tahun Baru Cina pada 24 dan 25 Januari

(Foto fail/BERNAMA)

KAJANG, 14 Januari- Jabatan Penjara Malaysia membenarkan sesi lawatan buat ahli keluarga penghuni penjara termasuk pusat pemulihan akhlak, pusat pemulihan khas, tempat tahanan khas dan Sekolah Henry Gurney sempena Tahun Baru Cina.

Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, lawatan secara bersemuka ditetapkan pada 24 dan 25 Januari ini, manakala lawatan secara dalam talian pada 26 hingga 28 Januari dengan ahli keluarga yang berminat perlu membuat janji temu terlebih dahulu.

"Tempahan janji temu boleh dibuat menerusi sistem i-Visit di laman web www.prison.gov.my, dan panggilan telefon atau e-mel kepada institusi berkaitan.

"Pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat.

"Keutamaan lawatan diberi kepada penghuni dalam kalangan kaum Cina sahaja," jelasnya.

Jabatan Penjara memaklumkan, setiap penghuni penjara hanya dibenarkan untuk menerima sekali lawatan keluarga sahaja pada waktu ditetapkan iaitu dari pukul 8.15 pagi sehingga 4.15 petang dengan pelawat diwajibkan membuat ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR atau ARTK-Ag.

"Pelawat perlu membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan.

"Pelawat juga tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman kepada penghuni. Makanan dan minuman boleh dibeli di kantin penjara," jelasnya.

Pada masa sama, pelawat yang ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan seperti pembayaran yuran peperiksaan perlu mendapatkan resit rasmi PPT.28 sebagai akuan penerimaan.

Tambahnya, setiap pelawat yang hadir boleh dikenakan pemeriksaan secara fizikal oleh pihak penjara semasa masuk dan keluar di bawah peruntukan Akta dan Peraturan Penjara.

"Sila hubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut. Maklumat institusi boleh didapatkan di laman sesawang Jabatan Penjara Malaysia, www.prison.gov.my," jelasnya.

 (Foto fail/BERNAMA)

Media Baharu