fb fb fb fb fb

Lawatan kerja PM ke AS, disusuli tindakan kenal pasti peluang pelaburan

(Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyambut ketibaan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di KLIA)

SEPANG, 26 September- Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Amerika Syarikat selama empat hari bermula 20 September lalu akan disusuli dengan tindakan mengenal pasti peluang pelaburan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata fokus kementeriannya adalah ekonomi digital dan peluang itu dilihat banyak dalam bidang berkenaan.


(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)

Beliau berkata, tiga dokumen besar negara iaitu Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dijangka memberi peluang kepada Jemaah Menteri untuk mencari pelabur bagi sektor tertentu.

"Insya-Allah, Saya akan bertemu dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk membincangkan peluang-peluang yang ada kerana kita sudah pasti ingin menjadikan Malaysia sebagai hub digital, bukan hanya hub pemprosesan data dan saya percaya Malaysia mampu menjadi harimau digital Asia", katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyambut kepulangan Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengenai lawatan kerja Perdana Menteri ke AS, Fahmi menggambarkan lawatan tersebut berlangsung dengan baik dan penampilan Anwar dialu-alukan di pentas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) selepas 25 tahun.

Media Baharu