KLUANG, 30 Mac - Ahli keluarga penghuni penjara dibenarkan membuat lawatan perjumpaan, sempena Hari Raya Aidilfitri pada hari ketiga dan keempat nanti.
Pengarah Penjara Negeri Johor Timbalan Komisioner Penjara Mohamad Ismail berkata, ia termasuk perjumpaan secara bersemuka dan dalam talian, melibatkan semua penjara di Johor sama seperti yang ditetapkan untuk seluruh Malaysia.
Setiap keluarga diberi tempoh 45 minit untuk meluangkan masa bersama penghuni penjara.
Proses melawat terhad kepada empat orang bagi setiap penghuni dan sekiranya ramai ahli keluarga yang hadir, perlu membuat penggiliran.
"Tempoh yang ditetapkan tu 45 minit tetapi bergantung juga kepada berapa ramai yang hadir, kadang-kadang dalam satu masa tu terlalu ramai yang hadir kita terpaksa kurangkan masa. Jadi kita harap masyarakat fahamlah kenapa masa 40 minit tu disingkatkan sebab kita nak semua orang tu dalam tempoh antara 8.00 pagi hingga 4.0 petang," kata Mohamad Ismail ketika ditemui RTM secara eksklusif di Penjara Kluang, Johor.
Pelawat juga tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman dari luar bagi menjaga keselamatan penghuni.
Beliau berharap para pelawat dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi melancarkan proses perjumpaan bersama penghuni penjara semasa raya nanti.