TOKYO, 22 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengadakan lawatan kerja ke Tokyo, Jepun selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Mei 2024.
Beliau dijadual menyampaikan ucaptama pembukaan pada hari pertama Forum Nikkei ke-29 bertemakan 'Kepimpinan Asia Di Dalam Ketidaktentuan Dunia'.
Mengiringi Perdana Menteri pada lawatan kali ini ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, selain Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Pesawat khas membawa Perdana Menteri dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, sekitar pukul 8.30 malam ini, waktu tempatan.
Selain berucap dalam Forum Nikkei, Anwar juga bakal bertemu rakan sejawat, Fumio Kishida berbincang isu berkepentingan bersama, serantau dan antarabangsa.
Turut dijadual berlangsung, pertemuan bersama pemimpin perniagaan Jepun bertujuan menarik potensi pelaburan.
Antara syarikat tempatan terlibat pada pertemuan dijadual pada Rabu, termasuk Mitsubishi Corporation, ENEOS, dan Tokyo Gas.
Jelas Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany kehadiran kali kedua Perdana Menteri ke negara matahari terbit tersebut mencerminkan keutuhan hubungan dua hala Kuala Lumpur - Tokyo yang telah terjalin lebih 68 tahun.
"Di antara isu penting geopolitik tentunya situasi di Gaza, dan juga Ukraine dijangka turut dibincangkan. Isu serantau juga diberi perhatian seperti aspek keselamatan di Laut China Selatan, Semenanjung Korea. Semua ini antara yang akan dibangkitkan pada pertemuan dua hala esok”. katanya.
Tahun lalu, hubungan dua hala kedua-dua negara telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Dekan Fakulti Seni Liberal Antarabangsa, Universiti Soka, Tokyo, Profesor Ichiro Sugimoto menekankan kepentingan memanfaatkan persamaan dari aspek nilai dan kesederhanaan di amalkan Malaysia dan Jepun khususnya dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan global.
"Dalam dunia baru yang berpecah ini, Jepun dan Malaysia adalah rakan kongsi yang sangat diperlukan antara satu sama lain yang menghormati demokrasi, mengamalkan bebas dan adil, serta melindungi alam sekitar dan hak asasi manusia."
Sementara itu, salah seorang diaspora Malaysia di Tokyo, Muhammad Mukmin Muhammad Faris yakin hubungan akrab serantau Malaysia dan Jepun mampu membuka lebih banyak peluang baharu daripada aspek sosiobudaya, dengan memanfaatkan kekuatan dimiliki bersama.
"Jepun banyak sangat kita boleh terokai dan kita pun ada banyak persamaan dimana kita samakan disiplin ,rasa hormat sesama sendiri dan PM kalau dia datang Jepun dan cari opportunities baru, memang sangat bagus," kata Muhammad Mukmin.
Anwar dijadual menyampaikan syarahan bagi memperingati Profesor Toshihiko Izutsu, cendekiawan Pengajian Islam di Universiti Keio pada Jumaat.
Beliau kemudian bakal menghadiri sesi dialog bersama-sama Kelab Media Kebangsaan Jepun (JNPC), sebelum mendirikan solat Jumaat di Masjid Cammi, Tokyo, sebelum berlepas pulang ke tanah air.