fb fb fb fb fb

Lawatan berturut-turut Anwar di Canberra selepas Melbourne

Datuk Seri Anwar Ibrahim

CANBERRA, 7 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas dari Melbourne ke Canberra hari ini selepas mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tahunan antara Pemimpin Malaysia-Australia Kedua (ALM) pada 4 Mac dan Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia yang dihoskan negara Australia dari 5 hingga 6 Mac bagi memperingati ulang tahun ke-50 Hubungan Dialog Asean-Australia.

Ia merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi berturut-turut beliau ke Australia atas jemputan rakan sejawatnya Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.

Pesawat khas membawa Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Canberra kira-kira 12.32 tengah hari waktu tempatan bagi memulakan lawatan rasmi selama sehari.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual menyampaikan syarahan umum di Australian National University (ANU), Canberra.

Perdana Menteri akan melakukan kunjungan hormat kepada Gabenor Jeneral Komanwel Australia Tuan Yang Terutama Jeneral David Hurley, di Government House, di sini.

Australia juga merupakan rakan kongsi rapat dan penting bagi Malaysia yang menyaksikan kedua-dua negara menjalin kerjasama erat dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, perdagangan dan pelaburan, pertahanan, keselamatan siber serta sains dan teknologi.

Anwar dijadual berlepas pulang ke Malaysia pada petang ini sejurus selesai urusan rasmi di Australia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI