KAJANG, 12 April- Keluarga penghuni penjara Kajang tidak melepaskan peluang melawat ahli keluarga mereka bersempena Aidilfitri.
Ia susulan kebenaran Jabatan Penjara untuk melawat penghuni secara bersemuka pada hari ini dan esok.
Jabatan Penjara menerusi satu kenyataan memaklumkan kebenaran itu terpakai bagi semua institusi penjara, Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas termasuk Sekolah Henry Gurney.
Inspektor Penjara, Seksyen Layanan Jabatan Penjara Kajang, Tuan Siti NuurJannah Tuan Soh berkata keutamaan diberikan kepada pelawat yang membuat temu janji menerusi Sistem i-Visit, panggilan telefon dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan.
"Kebiasaan lawatan kita ambil satu slot 25 atau 30, tengok pada keadaan, kebiasaannya hari minggu kita akan ambil sampai 30 satu slot.
"Memandangkan lawatan raya permintaan terlalu tinggi, kita bincang dengan pengurusan institusi, kita buka satu slot 40 pelawat dan kita tambah slot terakhir slot keenam bermula daripada 8.30 pagi dan dijangka habis lebih kurang pukul 4.00 petang.
"Jadi kalau pelawat yang 'walk in' boleh, tapi kita akan kemudiankan, kita utamakan yang 'booking' dahulu dalam sistem sebab banduan kita telah sedia", katanya kepada pemberita semasa Lawatan Khas Keluarga Penghuni Penjara Sempena Hari Raya Aidilfitri di Penjara Kajang, Selangor.
Selain kaedah bersemuka, perjumpaan secara dalam talian (panggilan video) juga dibenarkan pada 14 hingga 16 April ini.