(Empangan kenyir/BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 2 Oktober- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengesahkan isu yang tular mengenai Empangan Kenyir yang kononnya akan pecah tidak benar
NADMA menerusi satu kenyataan berkata, ia merupakan Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir yang diadakan pada 26 hingga 29 September lalu.
"Latih amal tersebut merupakan program yang melibatkan agensi-agensi kerajaan bersama anggota komuniti bagi memastikan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana berada pada tahap optimum.
Justeru, NADMA menasihatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan isu terbabit yang tular yang disebarkan melalui media sosial
berkaitan perkara tersebut," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan berkenaan sebelum ini latih amal yang sama pernah diadakan bagi Empangan Bakun di Sarawak, Empangan Sultan Abu Bakar, Cameron Highland dan beberapa empangan lain.
(Tasik Kenyir./BERNAMA)
Terdahulu, penduduk sekitar Empangan Kenyir dilapor bimbang susulan penyebaran berita kononnya empangan terbabit akan pecah disebabkan menerima taburan hujan lebat sehingga berisiko menyebabkan banjir besar.
Walaupun menyedari mengenai latih amal yang diadakan, berita yang tular sedikit sebanyak mengundang kerisauan mengambil kira keadaan cuaca yang tidak menentu, selain kejadian runtuhan tanah yang berlaku di kawasan itu pada Februari lalu.