KUALA LANGAT, 28 Januari- Solat subuh berjemaah sebelum bermandi peluh mengharungi cabaran 'Fun Run' dan 'Fun Walk' menjadi tarikan utama dalam Karnival Kesihatan Bersama Masjid Jamiul Ehsani, Kampung Sijangkang di sini, Ahad lalu.
Nazir Masjid, Ahmad Khairul Anam Paiman berkata, aktiviti larian bawah program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Pemimpin Bersama Masyarakat 2025 itu telah menarik minat kira-kira 500 peserta terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan warga tua.
Jelasnya, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kepentingan penjagaan kesihatan agar memperoleh manfaat, sekali gus memudahkan untuk beramal ibadat.
"Menerusi program sebegini, kita berharap ia dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat berkaitan penjagaan kesihatan dan mengubah tingkah laku ke arah mengawal serta mengurus penyakit sedia ada agar tidak menjadi lebih kronik lagi," katanya.
Hadir sama, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang, Datuk Zurihan Yusoff yang dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan penjagaan kesihatan.
“Penjagaan kesihatan amat penting, terutama kepada mereka yang sudah pun mendapat penyakit agar mengurusnya dengan lebih baik lagi. Jaga pengambilan makanan dan patuhi arahan doktor supaya penyakit tidak melarat sehingga boleh menjejaskan untuk menjalankan amal ibadat,” ujar Zurihan.
Tambahnya, bagi memastikan pelaksanaan ANMS mencapai kejayaan sehingga ke peringkat akar umbi, libat urus dan kerjasama strategik wajar diperkukuhkan melalui penglibatan aktif daripada pelbagai agensi termasuk pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Usaha sama secara holistik ini juga secara tidak langsung akan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan sedia ada ke tahap yang lebih optimum.
"Ini yang kita lakukan pada hari ni, di mana penglibatan di antara Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat bersama rakan strategik seperti pihak masjid, agensi kerajaan yang lain, NGO dan syarikat perniagaan yang berasaskan kesihatan. Terima kasih kepada penganjur utama iaitu pihak Masjid Jamiul Ehsani dan semua yang telah terlibat,” jelas Zurihan.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Langat, Dr. Norhayati Mokhtar menzahirkan kegembiraan atas sambutan yang diberikan oleh masyarakat, di mana kehadiran mereka membuktikan keperihatinan terhadap kesihatan masing-masing, serta kesungguhan untuk melakukan amalan cara hidup sihat.
Program tersebut menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik berkaitan kesihatan seperti ceramah, pameran, permainan interaktif, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan telinga dan mata, selain berjaya mengumpul sebanyak 71 beg darah.
Program tersebut diakhiri dengan lawatan Ziarah Kesihatan MyChampion, diketuai Zurihan yang juga ahli Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen), di mana lima buah rumah telah beliau lawati dan kesemua mereka mengalami masalah kesihatan seperti strok, kesukaran untuk berjalan, darah tinggi dan diabetes.