fb fb fb fb fb

Laporan Ketua Audit Negara kemuka 64 syor audit

JABATAN AUDIT NEGARA

KUALA LUMPUR, 4 Julai- Laporan Ketua Audit Negara SIRI 2/2024 mengemukakan 64 syor audit untuk dilaksanakan kementerian, jabatan, agensi dan syarikat kerajaan yang diaudit di peringkat Persekutuan.

Ini termasuk cadangan untuk Kementerian Komunikasi menyediakan Perancangan Penggunaaan jajaran jalur lebar yang komprehensif di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2.

Syor tersebut bagi memastikan jajaran yang tidak dilanggan oleh mana-mana syarikat penyedia perkhidmatan internet dapat dimanfaatkan.

Bagi tujuan itu, Kementerian Komunikasi juga disaran menyelaras dengan semua pihak berkepentingan berkenaan langganan internet terutamanya kepada Kementerian Pendidikan (KPM) selain, pelaksanaan program hendaklah ditambah baik dalam Projek 'Point of Present (PoP)' Fasa 2.

Bagi pengurusan Projek Sungai Nadi Kehidupan (River Of Life) pula, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Wilayah Persekutuan disaran menilai semula sekiranya projek dalam pra pelaksanaan wajar untuk diteruskan.

Ini mengambil kira semua objektif projek sehingga kini masih belum dicapai walaupun sejumlah RM3.915 bilion telah dibelanjakan.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pula disyorkan untuk mengusul semula polisi pemberian milikan kosong serentak dengan hak milik strata berkaitan Pengurusan Kediaman Berstrata di Wilayah Persekutuan.

Bagi pengurusan Projek Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Sabah pula, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) disaran untuk mengkaji semula sasaran dan objektif program agar lebih realistik dan boleh diukur.

Selain itu, perlu menambah baik garis panduan sedia ada agar lebih komprehensif dengan mengambil kira koordinasi dengan Kerajaan Negeri melalui perbincangan isi-isu berkaitan sebelum projek bermula.

Turut disaran, Pengurusan dan kawalan kewangan dilaksana dengan menyelenggara rekod peruntukan dan perbelanjaan yang tepat serta dibelanja mengikut keperluan.

SITI AISHAH MD ISA