fb fb fb fb fb

Laporan Jawatankuasa Khas Kaji Kompetensi DUN gubal Undang-Undang Islam siap sebelum akhir tahun

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Jun-Laporan kajian oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam, dijangka siap sebelum akhir tahun ini.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Menurutnya, laporan berkenaan akan dibentangkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja.

"Setelah 22 kali bersidang ada banyak perkara yang diperbincangkan.

"Buat pertama kalinya jawatankuasa khas ini akan membincangkan semua isu-isu yang berkaitan bukan sahaja isu pertindihan kuasa jenayah Mahkamah Syariah tetapi isu yang berkaitan. Ini dibincangkan dari masa semasa ke semasa dan ini melibatkan banyak libat urus semua pihak yang berkepentingan", katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ingin mengetahui perkembangan terkini penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam serta Jawatankuasa bagi mengkaji isu berhubung kalimah Allah.

Sementara itu, menyentuh mengenai isu kalimah Allah pula, Dr Zulkifli memaklumkan kertas cadangan penentuan dasar berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam telah dibentang kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 28 Ogos 2023 dan telah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja pada 25 Oktober 2023.

Dalam masa sama, Kementerian Dalam Negeri akan bertindak menggubal satu perundangan baharu berhubung perkara berkenaan selari dengan dasar yang telah ditetapkan Majlis Raja-Raja menurut kuasa yang diperuntukkan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Pada masa ini 11 negeri kecuali Perlis, Melaka dan Sarawak telah mewartakan fatwa mengenai larangan penggunaan kalimah suci islam seperti Allah, solat, kaabah dan Baitullah.

"Di samping itu larangan penggunaan kalimah suci Islam juga telah di peruntukkan dibawah enakmen kawalan dan sekatan pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam yang dibuat melalui punca kuasa dibawah fasal 4 perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Setakat ini 10 negeri telah menguatkuasa enakmen tersebut kecuali Pulau Pinang, Sabah ,Sarawak Wilayah Persekutuan", katanya di parlimen hari ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD