KUALA LUMPUR, 30 November – Satu Klip video laporan berita berkaitan seorang ustaz mampu menzahirkan wang secara ajaib, kononnya diterbitkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) adalah klip video palsu yang di sunting bersama klip asal video terbitan RTM.
Bahagian Perhubungan Awam (BPA) Jabatan Penyiaran Malaysia atau RTM menerusi kenyataan memaklumkan pihak RTM menyedari terdapat beberapa klip video dan laporan berita; kononnya diterbitkan oleh Bahagian Berita Ehwal Semasa (BES) sedang tular di media dan laman sembang sosial.
"Laporan itu berkaitan seorang ustaz yang dapat menzahirkan wang secara ajaib. Semua klip video berkenaan adalah palsu,” menurut kenyataan itu.
RTM ingin menegaskan bahawa BES RTM tidak pernah menerbitkan sebarang laporan sedemikian untuk siaran di mana-mana program atau buletin RTM
Pihak RTM juga telah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya. BES RTM teguh dalam peranan melaporkan berita yang sahih dan tepat.