fb fb fb fb fb

Lapangan terbang Miri dijadual naik taraf tahun 2025

Lapangan Terbang Miri

MIRI, 29 September - Sarawak menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung kelulusan projek pembesaran dan penaiktarafan Lapangan Terbang Miri.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata projek itu dijadualkan bermula pada tahun hadapan hingga 2027.

Katanya, Sarawak akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi merealisasikan projek tersebut.

"Antara komponen utama yang bakal diubah suai adalah terminal bagi pengasingan penumpang antarabangsa, tambahan enam jambatan udara, perluasan perkhidmatan udara luar bandar, serta penambahbaikan infrastruktur darat.

"Ini termasuk jalan masuk bagi menguruskan aliran trafik dengan lebih cekap. Selain itu, dua ruang letak pesawat baru juga akan disediakan," katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Miri selepas keberangkatan balik Perdana Menteri ke Sibu, pagi tadi.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Premier Sarawak atas sokongan penuh terhadap usaha menaiktaraf lapangan terbang ini.

Menurut beliau, keperluan untuk menaiktaraf lapangan terbang amat mendesak memandangkan jumlah penumpang yang menggunakan Lapangan Terbang Miri meningkat dari 2 juta kepada 4 juta setahun.

Selain itu Kim Shin menjelaskan, jumlah yang dikemukakan oleh Malaysia Airport Berhad untuk menaik taraf Lapangan Terbang Miri adalah berjumlah RM150 juta, manakala untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) adalah berjumlah RM70 juta.
 
“Sekarang, penerbangan keluar masuk antarabangsa ke Miri ialah Singapura dan sekarang kita berusaha untuk menambah penerbangan dari negara-negara lain seperti China terus ke Miri.

“Kita telahpun mengemukakan cadangan untuk menjemput mereka menghantar penerbangan secara langsung ke Miri selain Kuching,” jelas beliau lagi.

Ini sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi dan sektor penerbangan di bahagian utara Sarawak.

Lapangan terbang Miri yang mula beroperasi pada tahun 1983 itu kali terakhir dinaiktaraf pada tahun 2001.

BERITA BERKAITAN

 

GRACE AISYAH KEDAYAN