KUALA LUMPUR, 7 Februari- Lapan Rapid KL Safety Point (RSP) yang ditempatkan di stesen terpilih Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorail beroperasi sepenuhnya dengan peningkatan kawalan keselamatan menjelang waktu puncak.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, inisiatif itu mampu mengurangkan perlakuan jenayah di tempat awam sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna pengangkutan awam itu.
"Prasarana mempunyai polis bantuan yang ramai, iaitu lebih 1,000 orang dan saya telah melihat sendiri bagaimana proses keselamatan ini dilaksanakan.
"RSP ini selain daripada jenayah, ada aspek keselamatan lain juga. Contoh, orang yang ingin dapatkan bantuan boleh pergi ke RSP, sama ada sakit atau pengsan pun boleh pegi ke RSP,"katanya.
Beliau ditemui media selepas sesi lawatan pemantauan Projek RSP di ibu negara, hari ini.
Setakat ini, tahap keselamatan pengangkutan awam adalah terkawal dengan jumlah kes jenayah yang dilaporkan rendah membabitkan kes kecurian dan gangguan seksual.
Stesen yang terpilih antaranya, Stesen MRT Kampung Batu, Stesen LRT dan MRT Pasar Seni serta Stesen MRT Bukit Bintang.
Projek RSP merupakan hasil program rintis PDRM 'Go To Safety Point' (GTSP) pada 2013 yang kini diperluas pelaksanaannya ke stesen-stesen rel terpilih.