fb fb fb fb fb

Lapan pelajar Perlis lanjut pelajaran ke Penang Free School dibiayai YTSP

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berfoto kenangan dengan pelajar yang dipilih ke SMK Penang Free di Galeri Diraja Arau.

KANGAR, 20 April- Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis memperuntukkan RM108,000 bagi membiayai lapan pelajar tingkatan satu dari negeri itu yang terpilih melanjutkan pelajaran di Penang Free School (PFS) bagi sesi persekolahan 2024 yang akan bermula Isnin depan.

YTSP Perlis dalam kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan itu meliputi pembiayaan kos pengajian dan kelengkapan sekolah mereka sepanjang tempoh lima tahun proses pembelajaran pelajar berkenaan di PFS.

"Para pelajar yang telah disenarai pendek ini akan menjalani persekolahan mereka bermula tingkatan satu hingga lima di bawah Program Khas Biasiswa YTSP Perlis," menurut kenyataan itu.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan simbolik penyerahan biasiswa kepada pelajar sambil disaksikan ibu bapa dan penjaga pelajar di Galeri Diraja Arau pada Khamis lalu.

Pelajar yang terpilih ialah Ku Muhammad Adam Hakim, Mifzal Rizqin Mohd Reza, Muhammad Ameer Safwan Mohd Shahril Azuan, Firadz Rifqi Mohd Rusli, Muhammad Khairil Iqbal Abdullah, Mikhail Noh Midzar Hamidzar, Muhamad Ezikrisyah Zinual dan Akmal Hafizi Azli Afesham.

Program berkenaan adalah inisiatif YTSP Perlis untuk membuka peluang baharu kepada pelajar anak jati Perlis menimba ilmu di satu peringkat lebih tinggi dengan pendedahan sosial yang berbeza dan secara tidak langsung membina jati diri yang mampan.

"PFS mempunyai kesinambungan perhubungan dengan negeri Perlis sejak sekian lamanya kerana tiga generasi pemerintahan Jamalullail ialah alumni bekas pelajar sekolah Inggeris tertua di Asia Tenggara iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra, Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Syed Faizuddin Putra setakat ini," menurut kenyataan itu.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI