fb fb fb fb fb

Lapan aduan kanak-kanak alami kesan sampingan vaksin, babitkan kes tidak berat -KKM

KOTA BHARU, 16 Februari- Hanya lapan kes aduan di terima Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kanak–kanak yang mengalami kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) yang bermula sejak 3 Februari lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, jumlah itu bersamaan 0.006 peratus berbanding jumlah keseluruhan 246,868 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang diberikan suntikan vaksin Pfizer.

Katanya, aduan-aduan diterima menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) membabitkan kesan sampingan yang tidak serius.

“Kes kanak-kanak mengalami kesan advers susulan imunisasi (AEFI) termasuk lima di Sarawak dan dua di Sabah dilaporkan oleh ibu bapa.

“Semua kes tidak berat seperti bengkak-bengkak atau merah-merah pada tempat suntikan dan apabila mereka membuat laporan AEFI, kita akan melakukan catitan, malahan kita juga sudah memaklumkan apa-apa kesan berkaitan vaksin Covid-19, penerima boleh buat laporan,” katanya pada sidang media selepas Lawatan Kerja ke PICKids di negeri berkenaan, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin dan Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, setakat Selasa, tujuh peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah mendapatkan suntikan vaksin iaitu angka yang masih rendah berbanding populasi empat juta kanak-kanak di negara ini.

“Melaka mendahului dengan 16.1 peratus diikuti dengan Sarawak 13.99 peratus manakala Kelantan berada dalam kelompok paling rendah kanak-kanak menerima vaksin iaitu 1.18 peratus atau 3,000 kanak-kanak.

Noor Azmi berkata pihaknya menyasarkan 3.6 juta atau 80 peratus kanak-kanak daripada 4 juta orang yang layak dapat divaksinasi menerusi PICKids.

Beliau turut menegaskan masyarakat agar tidak terpengaruh dengan maklumat palsu yang tersebar berkaitan vaksin sebaliknya merujuk kepada data sahih dan golongan pakar.

“Berdasarkan data pada tahun lalu sebanyak 278, 000 kanak-kanak dan remaja sehingga 17 tahun di negara ini dijangkiti COVID-19 dengan 63 mereka meninggal dunia.

“Komplikasi yang serius boleh berlaku tapi sangat jarang dan hasrat KKM adalah untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan yang teruk serta tidak mahu berakhir dengan kematian.

" Saya sarankan mereka yang telah diberi temu janji janganlah terlepas peluang ni, kepada ibu bapa saya harap buat keputusan yang bertanggungjawab demi menyelamatkan anak-anak kita," katanya

Media Baharu