fb fb fb fb fb

Lantikan Pengerusi JKKR atau JPKK belum diputuskan - Wan Rosdy

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

JERANTUT, 20 Januari- Kerajaan Pahang belum memutuskan berkenaa pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) atau Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi kawasan Felda yang sudah diberikan geran hak milik tanah.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara tersebut sedang dalam peringkat kajian bagi mencari penyelesaian terbaik berkaitan hal berkenaan.

"Sebab kita ingin mengurus dengan baik, sekiranya banyak ketua , proses pengurusan ini sukar. Jadi lebih baik sekiranya diketuai oleh seorang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu Felda dan Suratan Hak Milik Felda Jengka 24 Serta Felcra Bukit Nikmat di Felda Jengka 24 di sini.

Seramai 1,838 orang peserta menerima STR Generasi Baharu Felda manakala 292 peserta Felda Jengka 24 dan 159 peserta Felcra Bukit Nikmat menerima Suratan Hak Milik Felda.

Mengulas mengenai program tersebut, Wan Rosdy berkata, program yang diadakan mendapat pelbagai penyertaan daripada agensi kerajaan berkaitan.

Bagaimanapun pemberian hak milik tanah Felda pula akan diselesaikan segera. Sehingga kini hanya lima peratus sahaja daripada lebih 43,000 peneroka Felda di Pahang yang belum menerima suratan hak milik.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI