Langkah penjimatan tenaga di bangunan kerajaan diperketat

Suhu penyaman udara di pejabat kerajaan akan ditetapkan pada minimum 24 darjah Celsius/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 2 April – Kawalan penggunaan tenaga di bangunan kerajaan akan diperketatkan termasuk menetapkan suhu penyaman udara pada minimum 24 darjah Celsius berikutan krisis tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penjawat awam digalakkan memakai pakaian sesuai iklim seperti batik, kemeja korporat atau baju Melayu untuk kurangkan kebergantungan penyejukan berlebihan.
  • Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam dan GLC bermula 15 April bagi mengurangkan penggunaan tenaga.
  • Keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertujuan kurangkan penggunaan bahan api dan pastikan kemampanan bekalan tenaga negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebagai langkah proaktif dalam menghadapi krisis tenaga global, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah penjimatan tenaga di peringkat nasional,

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, penjawat awam digalakkan memakai pakaian yang lebih sesuai dengan iklim tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap penyejukan berlebihan.

“Sebagai langkah proaktif dalam menghadapi krisis tenaga global, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah penjimatan tenaga di peringkat nasional.

“Penjawat awam digalakkan memakai pakaian yang lebih sesuai dengan iklim tempatan seperti batik, kemeja korporat atau baju melayu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap penyejukan berlebihan.

”Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memimpin melalui teladan dalam penggunaan tenaga secara berhemah,” katanya pada Taklimat Krisis Tenaga Global hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi mesej video mengumumkan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April depan sebagai langkah proaktif dalam mendepani krisis tenaga global.

Keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri itu bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga negara yang terkesan akibat krisis tenaga global.