Langkah pencegahan kendiri kunci bendung penularan virus Nipah

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 Februari – Langkah pencegahan dan kawalan kendiri perlu sentiasa diamalkan oleh masyarakat bagi mengekang risiko penularan virus Nipah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Amalkan kawalan kendiri sentiasa untuk mengurangkan risiko jangkitan Nipah dalam komuniti.
  • Segera dapatkan rawatan jika mengalami simptom mencurigakan seperti demam, sakit badan atau masalah pernafasan.
  • Jaga kebersihan makanan, bersihkan buah-buahan dan elakkan perjalanan ke kawasan berisiko.

Pakar Perunding Perubatan Keluarga, UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Nafiza Mat Nasir berkata jangkitan virus tersebut lazimnya tidak menunjukkan tanda yang ketara, sebaliknya menyerupai simptom jangkitan virus biasa seperti demam dan sakit badan.

Sehubungan itu, orang ramai disaran agar sentiasa peka terhadap sebarang perubahan tahap kesihatan serta segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami simptom mencurigakan.

“Bila virus ini banyak dalam saluran darah, dia boleh juga menyerang otak. Itu yang lebih bahaya. Bila serangan otak ataupun dipanggil encephalitis, kadang-kadang pesakit boleh sawan, boleh dapat macam tanda-tanda neurologi yang lain seperti lemah lutut dan kaki.

Pakar Perunding Perubatan Keluarga, UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Nafiza Mat Nasir/RTM 

“Apabila virus ini menyerang, ia juga memberi simptom yang teruk juga kepada paru-paru kalau dia menyerang paru-paru kerana sesakit boleh menhadapi kesukaran bernafas,” katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Dr Nafiza memaklumkan sehingga kini, tiada ubat atau vaksin khusus bagi merawat jangkitan virus tersebut dan rawatan yang diberi di fasiliti kesihatan adalah bergantung kepada keadaan pesakit.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar mengambil langkah berjaga-jaga terutama berkaitan kebersihan makanan, khususnya buah-buahan dan mengelakkan perjalanan ke kawasan berisiko.