
JOHOR BAHRU, 11 April – Kerajaan sedang meneliti langkah intervensi bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan serta kenaikan harga barangan menjelang tempoh kritikal pada Jun dan Julai ini.
- Menilai penggunaan bahan alternatif seperti polimer untuk kurangkan kebergantungan bahan api dalam sektor pembuatan.
- Meminta agensi dan kementerian pelaksana meneliti serta menyusun ketersediaan bekalan.
- Fokus mengurangkan impak kenaikan kos terhadap industri dan pengguna supaya rantaian bekalan tidak terjejas.
- Menegaskan langkah awal penting berikutan ketidaktentuan global; kenyataan dibuat selepas merasmikan mesyuarat PIBG dan penyerahan cek sekolah.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, usaha itu termasuk menilai penggunaan bahan alternatif seperti polimer bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api dalam sektor pembuatan.
“Ketika ini kita telah meminta agensi, kementerian pelaksana meneliti dengan mendalam serta menyusun daripada segi ketersediaan bekalan,” katanya.
Beliau menambah, fokus turut diberikan kepada usaha mengurangkan impak kenaikan kos terhadap industri dan pengguna.
“Yang kedua, bagaimana untuk mengurangkan impak sebaik mungkin supaya rantaian bekalan tidak terjejas,” jelasnya lagi.
Menurut beliau, Jun dan Julai dikenal pasti sebagai tempoh penting bagi memastikan bekalan bahan api serta kelangsungan rantaian bekalan industri negara berada pada tahap mencukupi.
Langkah awal itu dilihat penting susulan ketidaktentuan faktor global yang berpotensi menjejaskan kestabilan harga dan bekalan dalam negara.
Akmal Nasrullah ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta majlis penyerahan cek bagi kerja naik taraf infrastruktur di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pelangi, di sini.