fb fb fb fb fb

Langgar Akta Cap Dagangan 2019, alat ganti dan aksesori telefon bimbit dirampas

Foto Ihsan KPDN Pulau Pinang

PERAI, 14 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya merampas alat ganti dan aksesori telefon bimbit pelbagai jenama terkemuka dalam serbuan di Bandar Perai Jaya.

Sebanyak 2,938 unit alat ganti telefon bimbit dirampas dengan anggaran nilai RM58,896.

Turut disita, 964 unit aksesori telefon pelbagai jenama bernilai RM9,320, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM68,216.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, bertindak atas aduan pemilik cap dagang, pihaknya telah menyerbu sebanyak empat premis yang disyaki menjual barang tiruan berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan berjaya menemukan barangan terdiri daripada alat ganti dan barangan aksesori telefon bimbit disyaki melanggar penggunaan cap berdaftar.

Dalam serbuan itu, tiga orang lelaki dan seorang wanita yang mengaku sebagai penyelia premis berkenaan, ditahan.

Kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019, dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM