fb fb fb fb fb

Langgar Akta 127, premis 'e-waste' digantung operasi

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad

IPOH, 27 Ogos- Sebuah premis pemerolehan kembali buangan terjadual (e-waste) di Simpang Pulai, Perak dikenakan penahanan operasi kelengkapan (POK) berikutan tidak mematuhi akta di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tindakan itu susulan aduan orang awam akibat pencemaran bau dan udara yang mengganggu penduduk berhampiran terutamanya penduduk di Taman Seri Bougainvillea, Bandar Seri Botani.

Jelas beliau, premis tersebut yang memproses sisa buangan, telah diberikan lesen sementara selama tiga bulan, untuk menyelesaikan isu-isu yang menyebabkan pencemaran itu berlaku.

"Antara tindakan yang telah diambil ialah pertama, penahanan operasi kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974."

"Bagi alat kawalan pencemaran udara iaitu tiga unit 'scrubber' yang gagal diselenggara dengan baik sehingga melepaskan asap dan bau dari cerobong," kata Nik Nazmi kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, tindakan POK juga diambil ke atas relau yang digunakan bagi operasi peleburan buangan terjadual tanpa kelulusan di bawah Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Kertas siasatan juga dibuka bagi kesalahan gagal mematuhi Notis Arahan di bawah Seksyen 31 (1)(g) kerana menceroboh dan merosakkan sitaan yang telah dikenakan terhadap pihak premis berkenaan.

"Semua pihak industri diingatkan tindakan tegas di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan dikenakan ke atas mana-mana premis yang melakukan pencemaran alam sekitar," tambah Nik Nazmi.

Sekiranya didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun mandatori dan denda maksimum RM10 juta.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM